Mulakan.....



Di Kota Langit ini...Gua perlukan Kekuatan, Kebijaksanaan, Kemanusiaan ,Cinta dan nasik..

Thursday, August 12, 2010

Rintihan gelandangan

Rintihan gelandangan

Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Sarah Sulaiman
2010/08/11

KUALA LUMPUR: Kami bukan malas, kami ada pekerjaan, tetapi pendapatan kami kecil tidak mengizinkan kami menyewa rumah yang harganya mahal di ibu kota ini, kata Kamarul, 60, seorang daripada golongan gelandangan yang menjadikan kaki lima di bandar raya ini sebagai tempat tidur mereka.

Kamarul berkata, kira-kira 40 peratus daripada ribuan golongan gelandangan yang berada di ibu kota mempunyai pekerjaan dan pendapatan mereka dianggarkan RM1,000 sebulan. Beliau berkata, disebabkan desakan hidup kerana menyara anak yang masih bersekolah di kampung dan ada yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, mereka mengambil keputusan untuk tidur di kaki lima dan kawasan lapang kerana wang gaji yang diperoleh tidak cukup untuk menyewa rumah. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu faham, tidak semua golongan gelandangan yang tinggal di kaki lima adalah penagih dadah atau pengemis.

Kami mempunyai kerja tetapi gaji yang diterima tidak membolehkan kami untuk menyewa rumah yang mahal.

Sebab itu, kami meminta jasa baik KWPKB supaya dapat membantu kami menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang harganya sekitar RM125 sebulan, katanya kepada Sentral di Puduraya di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, ribuan golongan gelandangan terkilan dengan KWPKB yang didakwa tidak menunaikan janji bagi membantu golongan terbabit mendapatkan rumah PPR.

Katanya, dua bulan lalu seorang pegawai atasan KWPKB bergelar Datuk mengunjungi mereka dan menyatakan akan membantu golongan gelandangan terbabit mendapatkan rumah PPR.

Janji hanya tinggal janji kerana apa yang dinyatakan tidak bersungguh kerana tidak ada sebarang dokumen yang diisi dan maklumat berkaitan mereka yang diambil KWPKB, katanya.

Seorang lagi gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 45, berkata golongan itu kini hidup seperti pelarian apabila JKM melakukan operasi dua kali seminggu menahan mereka.

Waktu tidur kami terjejas dan mengganggu kerja kami pada siang hari, katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kebanyakan golongan gelandangan mempunyai tanggungan, cuma mereka tidak mampu untuk menyewa rumah yang mahal di ibu kota.

Apabila ditangkap kami akan ditahan hingga lewat pagi dan pemandu lori seperti saya pasti mengantuk ketika bekerja.

Kami juga sedih dengan layanan diberikan ketika kami ditahan dalam operasi itu. Kami faham imej bandar raya Kuala Lumpur tercalar apabila kami tidur di kaki lima tetapi bukan ini yang kami mahu, ia lebih kepada desakan hidup, katanya.

Iskandar, 48, berkata golongan gelandangan kini terpaksa bergilir-gilir tidur disebabkan bimbang ditangkap JKM.

Bayangkan apabila ditangkap semua dokumentasi kami diambil hingga lewat pagi dan keesokannya kami perlu bekerja. Sudah tentu kami letih sedangkan kami perlu bekerja bagi menyara keluarga.

Kami berharap kerajaan dan KWPKB mengambil perhatian serius terhadap masalah kami. Golongan gelandangan seperti kami boleh menyewa rumah PPR yang harganya RM125 sebulan, katanya.

No comments: