Mulakan.....



Di Kota Langit ini...Gua perlukan Kekuatan, Kebijaksanaan, Kemanusiaan ,Cinta dan nasik..

Thursday, August 26, 2010

Gua Bercerita tentang : MITOS MEMANASKAN ENGINE KERETA....


Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa rendahdan sebagainya termasuk helikopter. Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit.Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Gua syak makan masa dalam 15 minit juga.

Brader-brader macam tu gua ingat mesti bangun awal punya. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.

Masalahnya sekarang, di manakah pelajaran tentang memanaskan enjin ini diajar? Kalau tak silap gua, masa sekolah dulu pun tak ada pun cikgu-cikgu yang pandai-pandai ajar pasal benda ni. Masa pergi ambil kursus memandu di JPJ pun tak ada belajar benda-benda macam ni. Di univesiti pun tak ada belajar. Sekolah-sekolah agama rakyat pun tak ada menyediakan tajuk ini di dalam silibus pembelajaran mereka. Jadi di mana? Berdasarkan pemerhatian gua dengan sedikit kajian, upacara pemanasan enjin telah dilakukan sejak zaman-berzaman. Sejak dari zaman Abah gua bawak kereta Ford Escort lagi ataupun mungkin lebih awal dari itu.

Jadi Abah gua pun seperti biasa sebelum nak pergi mana-mana pasti  panaskanlah juga enjin keretanya. Kemudian bila gua dah besar, dah pakai kereta dua pintu, gua pula ikut panaskan enjin kereta. Tapi sebenarnya gua tak buat. Sebab gua ada ilmu pengetahuan tentang enjin. Tambah lagi biasanya gua bangun lambat. Tapi bila gua balik kampung start kereta depan mak dan abah dan terus drive, mak dan abah akan tegur kenapa gua tak panaskan Engine kereta dulu.Sepertinya gua sedang melakukan kesalahan yang besar di dalam  penjagaan kereta. Hmm.. Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni?

Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan.

Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun , United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan pepura (idling) melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?

The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia ? Rasanya memang dah tak payah nak panaskan enjin lagi dah. Start kereta terus jalan saja.

Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, "Engines run best at their design temperature".

Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius.

Oleh itu membiarkan enjin lu orang di dalam keadaan pepura (idling) adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya atau dengan kata lain stail Amerika, lagi 'gentle' kalau pandu terus.
 
Sekarang kita tengok serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit.

Apa pula kebaikkan memanaskan enjin ?

Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.. Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang lu orang perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang lu orang perlu buat? Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan pepura (idling)?

BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab dia orang tahu kalau enjin cepat rosak nanti mesti lu orang kompelin. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus blah cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini karang siap boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang dengan bini tapi enjin kereta terbiar hidup.

Satu perkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan lu orang tidak bergerak. Kalau tunggu makwe turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin. Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran wang ringgit. Sedarkah Lu orang di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan hidup dalam keadaan pepura (idling) ini mampu menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.

Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia. Rakya Malaysia memang suka mengikut dan mempercayai satu kebiasaan tanpa meneliti dan mengkaji secara saintifik tentang sesuatu perkara itu. Banyak contoh lagi yang boleh gua jelaskan. Antaranya lihat sahaja di Facebook.Berbagai-bagai link Clip Video dan penulisan yang meragukan di hantar oleh orang ramai tanpa meneliti dan mengkaji secara saintifik tentang kesahihan sesuatu cerita ataupun clip video yang dipaparkan.Dengan berlatar belakangkan bacaan ayat-ayat Al-quran sahaja sudah cukup untuk membuatkan pengguna facebook dan Youtube Melayu amnya mempercayai sesuatu perkara tanpa perlu menyelidikannya.Hmmm...

Akhir kata setujukah Lu Orang jika Gua katakan  bahawa memanaskan enjin di waktu pagi boleh menjahanamkan enjin dan dunia?

Kalau Lu Orang tak percaya....

Teruskan.......



No comments: