Mulakan.....



Di Kota Langit ini...Gua perlukan Kekuatan, Kebijaksanaan, Kemanusiaan ,Cinta dan nasik..

Wednesday, July 14, 2010

Berangan 6, Si Air Mata

Selayaknya gua sangat berbangga apabila memberitahu kepada teman-teman yang bertanya tentang dari manakah asal dan kampung gua.Gua berasal dari sebuah kampung yang tersohor satu Malaysia dengan keenakkan Ikan Bakar yang dimakan bersama nasik lemak daun pisang iaitu Kampung Umbai Melaka.Ternyata keenakan ikan bakar di Kampung Umbai ini memang tidak boleh disangkal lagi kerana ia merupakan salah satu destinasi pilihan Santapan Majlis Raja-Raja Malaysia. Hmm, jika teman-teman ingin mencuba gua dengan terbuka hati menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong teman-teman ke sana.

Selain daripada Medan ikan bakar Umbai, di sini terdapat juga peninggalan Sejarah seperti Makam waris Kesultanan Johor iaitu Makam Sultan Ali , Jeti Feri ke Pulau Besar yang kaya dengan Sejarah mistik dan Lagendanya,Jeti Anjung Batu yang dahulunya pernah menjadi tempat persinggahan Sultan Mahmud Shah semasa melarikan diri daripada ancaman Alfonso di Al-Buqaque,serta sebuah kampung yang sangat unik telahpun diberikan taraf HOMESTAY oleh Majlis Pelancongan negeri Melaka iaitu Kampung Berangan 6.

Kalau gua spesifikkan lagi kini Umbai merupakan sebuah Mukim yang mempunyai 5 buah kampung yang terdiri daripada Kampung Berangan 6, Kampung Seri Minyak, Kampung Bukit Tembakau, Umbai Pantai dan Taman Pahlawan. Mukim Umbai ini pula terletak di dalam DUN Serkam.

Teratak buruk keluarga gua terletak di Kampung Berangan 6 umbai iaitu di jalan Bakti.Oarng-orang kampung panggil kawasan di kejiranan gua sebagai orang Pulau Berani.Mungkin sebab orang-orang di kejirana gua ni Pendekar-pendekar agaknya dulu.

Kampung Berangan 6 Umbai ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Jika Teman-teman pernah menonton Filem Mamat Khalid iaitu Man Laksa lebih kurang begitulah senarionya.Golongan-golongan belia dan golongan-golongan veteran kampung masing2 ada agenda yang tersendiri, itu belum diceritakan lagi betapa hebatnya penduduk kampung gua ni berpolitik.Sepertinya jika geran kampung gua ni diberikan kepada individu2 tertentu, kampung gua ini sudah lama dipajakkan kepada Kapitan-kapitan China yang kaya seperti yang berlaku kepada Kampung2 di Chow Kit KL dahulu.

Kata arwah atuk, kampung ini diberi nama Berangan 6 kerana dahulunya terdapat Enam Batang Pokok Berangan yang besar di Jalan utama kampung ini. Oleh itu penduduk-penduduk kampung bersetuju untuk memberikan nama kampung ini bersempena nama pokok2 itu. Jika teman-teman tidak tahu bagaimanakah rupa pokok berangan itu cukuplah teman2 mengenali buahnya iaitu buah berangan ataupun Chessnut yang sangat enak dimakan bila digoreng dgn biji kopi.Aroma baunya pasti akan membangkit rasa lapar sesiapa sahaja yang menghidunya.

Kata atuk , leluhur keluarga gua iaitu moyang gua bernama Barima@Babok. Barima anak kepada Mah Kasim. Pak Ngah gua yang mengkaji tentang Susur galur keturunan gua bercerita ,Mah Kasim ini adalah orang berketurunan Bugis asli dan dikatakan beliau adalah antara individu-individu yang membuka kawasan kampung dari Teluk Mas sehinggalah ke kawasan Umbai.  Hasil dari kajian Pak Ngah dengan rakan-rakannya daripada Persatuan Penulis Selangor dan Melaka, Mah Kasim ini merupakan salah seorang Panglima yang mengiringi 7 Raja Bugis yang berkuasa di Nusantara pada satu masa dahulu. Namanya tertera di dalam Salasilah dan waris walak Kerabat Di raja Selangor. Arwah atuk pernah juga bercerita dulu. Katanya dia tak boleh pergi ke Kota Tinggi. Jika ke sana maka dia akan muntah darah akibat daulat Sultan Mahmud ke atas cucu-cicit Megat Sri Rama. Arwah atuk juga sangat mahir dengan kitab Tajul Muluk ataupun lebih dikenali dengan nama Kitab Bintang Tujuh di kalangan orang2 Bugis. Banyak kisah-kisah yang menarik yang gua dapat dengar dari Arwah atuk dulu..



Baru-baru ini semasa gua pulang ke kampung melawat mak dan abah, abah bercerita tentang pergolakan politik di kampung.Abah selaku JKKK kampung selalu bercerita tentang isu-isu politik kampung dengan gua. Abah pernah menggesa gua pulang ke kampung dan memulakan career politik gua di Melaka, namun gua masih belum bersedia untuk itu walupun pada dasarnya gua sudah mula memanjangkan cable dan network gua dengan beberapa nama besar dalam lapangan politik di negeri Melaka.

Abah bercerita tentang terdapatnya satu agenda daripada beberapa individu yang tak berpuas hati dengan kepimpinan kampung hari ini  iaitu agenda untuk memecah belahkan kampung Berangan Enam ini.Lantaran kalah dalam perebutan kerusi untuk mendapatkan jawatan Ketua UMNO cawangan Umbai, maka golongan yang kecewa ini menubuhkan satu cawangan baru yang diberi nama cawangan desa Berangan Enam. Pada dasarnya memanglah baik ditambahkan lagi cawangan UMNO di negeri Melaka, tetapi apa yang membimbangkan di sini ialah Cawangan yang baru ditubuhkan itu berada di dalam satu kawasan kampung yang sama dan sempadanan serta ahli-ahlinya pula terdiri daripada orang-orang kampung yang sama. Hal ini merumitkan dan membimbangkan veteran-veteran dan golongan2 yang serius memikirkan tentang perpaduan orang kampung.

Gua secara peribadinya sangat menolak gerakan memecah belahkan orang kampung ini kerana bagi gua apa yang sudah ada pada hari ini sudah pun cukup baik. Arwah Tun Ghafar Baba adalah individu yang merintis UMNO cawangan Umbai ini. Sejarahnya cukup besar dan panjang. Nilainya cukup tinggi kerana cawangan ini boleh dikira sebagai cawangan yang terawal ditubuhkan di Negeri Melaka.

Mungkin ada sesetengah mereka yang akan berkata gua tidak layak utk bercakap ttg isu ini kerana gua tidak menetap di kampung, tetapi secara logik akalnya benda ini sangat mencarut. Dengan alasan ahli UMNO Cawangan Umbai sudah terlalu ramai, maka mereka ingin mewujudkan satu lagi cawanagan baru bagi memudahkan urusan pentadbiran sedangkan jika dilihat bila ada majlis ataupun upacara peringkat kampung hanya orang yang sama sahaja yang akan muncul.Sekali lagi gua katakan semua ini adalah pekerjaan mencarut dan tiada agenda lain disebaliknya kecuali gilakan kuasa.

Gua tak mahukan apa-apa.Cukuplah bila gua pulang ke kampung, gua dapat lihat dan rasakan bahawa kampung gua masih lagi seperti kampung gua yang gua kenal yang mana kampung gua terkenal dengan tradisi masyarakat yang masih lagi ambil tahu hal orang lain.Walaupun kadangkala hati terasa sayu bila tidak lagi kelihatan kanak-kanak bermain teng-teng, kalah panjang, dan Bola Pot di halaman-halaman rumah kampung.Gua tidak mahu kampung gua akan menjadi seperti nasib Anjung Batu yang kini telah dijualkan tanahnya kepada syarikat pemaju.Pada hari ini, jika gua ingin pergi ke Anjung Batu gua harus membayar cukai pintu dan cukai parking.Sangat menyedihkan kerana satu masa dahulu ditulah gua dan rakan-rakan sekampung dengan bebasnya mencari Kepah, belangkas dan kerang.Di situ jugalah tempat kami berseronok-seronok mandi di Pantai Siring dan Lopak air di tengah-tengah hutan pokok bakau dan distu jugalah tempat kami mengumpul buah nipah dan minum airnya sepuas-puas hati.

Tiba-tiba gua rasa mengidam nak makan Mee kari yang paling enak di Asia Tenggara iaitu mee kari warung Pakcik Samah Leman. Bagi gua tiada sebarang Mee kari pun dapat menandingi kelazatan Mee kari warung Pakcik Samah Leman ini.Begitu juga dengan mee goreng warung Ucu Sani dan nasik Lemak Nenek Timah arwah Tok Said iaitu ibu kepada cikgu Silat Gerak Tepat gua iaitu Abg Aziz Mat Said.Semua ini adalah juadah yang takkan gua missed bila gua pulang ke kampung.


Hmm, sejujurnya Gua tak tahu nak sampaikan bagaimana rasa hati ini apabila gua bila bercerita tentang kampung.Mungkin dengan sajak Hasil Nukilan Pak Ngah gua ni (Mahad Abu Bakar- Penulis bebas) ini mampu membantu menterjemahkan apa yang gua rasa ketika ini.....

Berangan 6, Si Air Mata

Berangan 6 si air mataku
diolah budi pada awalnya
pada miliknya
sarat muatan dalam hiba
hari-harinya dalam derita

Berangan 6 lorong air mataku
anaknya setia senja ladang ke subuh
segenap dakap akan dibawanya

Berangan 6 Si anak lara
mengertikah ia subuh ke senja

Berangan 6 si anak jelita
mengalir suci daerah sendiri
mengertikah ia sejarah lagi

Berangan 6 bumi bertuah
bilakah cahaya luah melimpah

Oh Berangan 6
Selama ini tangisku dalam dadamu

Anjung Batu airnya biru
dahulunya tempat mencari kerang,
merundung sayu jiwa menderu
buah hatinya diambil orang.....

Teruskan...

5 comments:

Unknown said...

Best nye kg ko. Tapi restoran terapung tu kat umbai kan. Luar liputan tu.. Aku puji semangat jati kg ko..

Brader Burger said...

umbai itu juga kampung gua :)

Chinta Annabella said...

dah lama tak rasa kesedapan ikan bakar kat umbai....nak ikut balik kg...q:)

Unknown said...

Semangat patriotik anda memang disanjung tinggi. Jadi, jangan lepaskan tanah ½ ekar di Kg. Pulau Berani, Km 13, Jalan Berangan 6, Kg. Umbai, 77300 Melaka kepada orang luar.

Pemilik tanah tersebut adalah anak kelahiran Kg. Mumbai yang kini bertugas di Koperasi Pelaburan Pekerja Proton Berhad dan beliau boleh dihubungi di talian 019-376 8648 En. Baharom bin Mohamed.

Atau layari cakapniaga dot com untuk membaca artikel mengenai tanah tersebut.

Muhammad Nuralif said...

Terbaik sejarah kg..ku...